Monday, 29 September 2014

Perdana Menteri Dan Menteri Kewangan


Salam sejahtera.

Pengurusan ekonomi dan kewangan negara merupakan komponen paling penting dalam sesebuah negara. Kemajuan sesebuah negara dinilai melalui sejauh mana ekonominya mampu berkembang dan bagaimana kewangannya diuruskan.

Mantap ekonomi dan baik pengurusan kewangannya, maka majulah sesebuah negara itu dan sekaligus memberi manfaat kepada rakyatnya dan begitulah jua jika sebaliknya.

Dalam konteks ini, peranan dan tanggungjawab seseorang Menteri Kewangan adalah amat berat dan mustahak. Walaupun di bawahnya ada Menteri Kewangan Kedua, timbalan menteri, beberapa pengarah jabatan, beribu kakitangan, puluhan agensi dan pelbagai unit sokongan yang lain, tugas Menteri Kewangan adalah umpama pemandu yang menentukan hala tuju dan sasaran pencapaian sesebuah negara.

Sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengambil alih kepimpinan negara pada 2009, beliau juga menjawat jawatan Menteri Kewangan itu. Selain berhadapan dengan pelbagai masalah berkaitan politik dan sebagainya, tanggungjawab berkaitan ekonomi dan kewangan negara juga menjadi beban yang terpaksa dipikulnya. Tambahan pula kebelakangan ini, ekonomi dunia juga turut menghadapi banyak masalah dan cabarannya yang turut menempiaskannya kepada negara kita.

Saya melihat tindakan Datuk Seri Najib mengekalkan portfolio kewangan di bawah tanggungjawabnya sebagai tidak berapa sesuai lagi. Sudah sampai masanya beliau sebagai Perdana Menteri memisahkan dirinya daripada tanggungjawab sebagai Menteri Kewangan itu.

Ini kerana, setiap manusia dan pemimpin ada kelemahan yang tidak disedari oleh masing-masing. Dengan memikul dua tanggungjawab, sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dalam satu masa, ia menjadikan tugas Menteri Kewangan itu tidak dipantau dan tidak ditegur oleh sesiapa.

Sekiranya Menteri Kewangan dipegang oleh pemimpin lain, sudah tentu Perdana Menteri boleh memantau atau menegur jika ada sesuatu kesilapan atau kelemahan yang dikesan. Begitu juga juga dalam mesyuarat kabinet, mungkin lebih ramai menteri lain yang sedia memberikan pandangan atau cadangan secara lebih terbuka.

Tetapi apabila seorang Perdana Menteri juga menjawat jawatan Menteri Kewangan, bukan saja Perdana hilang kuasa memberi teguran itu, bahkan menteri kabinet yang lain juga akan jadi lebih cenderung berdiam diri atau mengiyakan saja sesuatu perkara atau dasar yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan setiap kali mesyuarat kabinet diadakan. Mereka barangkali tidak mahu menyinggung perasaan Perdana Menteri.

Memang pernah berlaku di zaman Tun Abdul Razak dan di era Tun Mahathir di mana kedua-dua Perdana Menteri itu juga memegang jawatan Menteri Kewangan tetapi mereka memegangnya hanya untuk sementara waktu saja. Wujud keperluan dari segi menyelesaikan krisis yang menyebabkan Tun Abdul Razak dan Tun Mahathir memegang jawatan Menteri Kewangan ketika itu.

Apabila krisis sudah berakhir dan untuk memastikan pengurusan ekonomi serta kewangan negara berjalan secara harmoni, Tun Abdul Razak dan Tun Mahathir akhirnya melepaskan jawatan Menteri Kewangan yang pernah dipegangnya itu untuk diambil alih oleh pemimpin yang lain pula.

Dengan berbuat demikian, maka seseorang Perdana Menteri itu dapat memainkan peranannya yang sebenar memantau dan mengawal selia tugas dan peranan setiap anggota kabinetnya. Ini merupakan kaedah yang lebih baik dan mampu menghasilkan natijah yang lebih optimum.

Bagi Datuk Seri Najib pula, beliau sudah agak lama memegang jawatan Menteri Kewangan iaitu sejak 2009 lagi dah sudah sampai masanya melepaskannya kepada pemimpin lain pula. Dengan sudah memperkenalkan pelbagai program ekonomi seperti ETP, GTP, mewujudkan Pemandu dan banyak lagi, sekarang adalah masa yang paling sesuai memberi pemimpin lain pula menggalas tugas itu dan Datuk Seri Najib hanya perlu melakukan tugas-tugas pemantauan bagi memastikan pencapaian paling maksimum setiap anggota kabinetnya saja.

Meskipun sudah ada pemimpin lain seperti Tun Daim Zainuddin turut berpandangan yang sama bahawa tiada keperluan seseorang Perdana Menteri turut memegang jawatan Menteri Kewangan untuk tempoh yang lebih lama bagi memastikan keberkesanan tugasnya, saya yang berpendirian serupa mengulangi perkara ini khusus sempena pembentangan Bajet pada 10 Oktober depan.

Saya mengharapkan pembentangan Bajet tahun ini adalah kali yang terakhir dilakukan oleh Datuk Seri Najib dan mulai tahun-tahun berikutnya beliau harus berperanan sepenuhnya sebagai Perdana Menteri sahaja dan tidak lagi memegang jawatan Menteri Kewangan. - 30hb September 2014.

No comments:

Post a Comment