Wednesday, 24 September 2014

Industri Pelancongan

Pelancongan merupakan industri yang penting kepada sesebuah negara. Melaluinya bukan saja berupaya menambahkan pendapatan negara, tetapi juga menyebabkan berkembangnya beberapa perniagaan lain yang berkaitan seperti dalam bidang makanan, perhotelan, perkhidmatan, pengangkutan dan sebagainya.

Itulah antara sebabnya Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia diwujudkan. Ia adalah bertujuan untuk menggalakkan seberapa ramai pelancong daripada seluruh dunia datang ke Malaysia. Melalui kedatangan mereka dan berbelanja di sini, ia secara langsung menambahkan pendapatan negara.

Tidak kiralah sama ada mereka menginap di hotel, homestay, menyewa pangsapuri atau di mana-mana saja, pokoknya kedatangan mereka ini menyebabkan berlakunya aliran wang masuk. Begitu juga jika mereka makan di restoran yang mahal, warung rakyat tempatan atau membeli makanan di tepi jalan sekali pun, pengaliran wang masuk tetap berlaku.

Bertambah lagi jika mereka menggunakan pelbagai perkhidmatan lain dan berbelanja lebih banyak untuk membeli-belah dan sebagainya. Semuanya adalah menguntungkan rakyat dan negara ini.

Sebagai Menteri Pelancongan yang pertama sejak diwujudkan, itulah sebenarnya matlamat dan tujuan industri pelancongan ini diagresifkan. Oleh itu, usaha berterusan menarik kedatangan pelancong dalam ertikata yang sebenarnya amatlah diperlukan.

Kita memerlukan kedatangan orang luar ke negara kita untuk berbelanja sambil menikmati segala keindahan dan tarikan yang ada di sini. Kita mahu mereka berbelanja sebanyak-banyaknya. Kita tidak memerlukan kedatangan orang yang menyalahgunakan tiket pelancongan seperti untuk bekerja, melakukan jenayah dan sebagainya di negara ini.

Begitu juga, dalam kerancakan industri pelancongan ini, ia juga tidak seharusnya menyebabkan orang kita lebih sibuk melancong ke luar negara pula. Ini sebaliknya akan menyebabkan pengaliran keluar wang negara.

Walaupun industri pelancongan secara umumnya berkembang, tetapi kita juga mahu melihat industri hotel, homestay, makanan tradisional, pengangkutan dan pelbagai kemudahan untuk pelancong, turut sama berkembang.

Soalnya, adakah semua itu turut berkembang apabila kita bercakap mengenai industri pelancongan ini antara 10 atau 15 tahun dahulu dengan sekarang? Di sebalik peruntukan kerajaan yang besar setiap tahun, adakah juga ia berbaloi dengan hasilnya kepada negara?

Saya sentiasa ingin melihat industri pelancongan ini terus berkembang dan dalam masa yang sama, kita juga tidak mahu tersasar daripada matlamat asal dalam menggalakkan lagi aktiviti pelancongan ini.


Tamat

No comments:

Post a Comment